1.3.12

jom p jeti!!

Kerajaan negeri bercadang membangunkan tempat letak kenderaan bertingkat di sekitar jeti Kuala Perlis bagi mengurangkan kesesakan dan kekurangan kawasan meletak kenderaan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Ahmad Bakri Datuk Ali (BN- Kayang) berkata, pelaksanaan projek itu akan dibuat di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) melalui penglibatan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan Kementerian Pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri sedia maklum mengenai masalah pengusaha haram tempat letak kenderaan di jeti Kuala Perlis yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

"Pelbagai usaha dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk menyelesaikan masalah tersebut termasuk perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha haram terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad Bakri, MPK turut mengadakan perjumpaan dengan pengusaha menguruskan tempat letak kereta di kawasan Kuala Perlis iaitu syarikat Secure Parking Sdn. Bhd. (Secure Parking).
"Beberapa persetujuan awal telah pun dicapai dengan pihak-pihak terlibat dan MPK akan mengadakan perjumpaan semula dengan pihak berkenaan untuk memastikan segala persetujuan yang telah dicapai dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.


Mengenai kerja-kerja naik taraf jeti Kuala Perlis, beliau berkata, peruntukan berjumlah RM5 juta daripada Kementerian Pengangkutan telah bermula pada 12 November 2008 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun tahun lalu.

Antara yang dinaik taraf adalah pembinaan surau lelaki dan perempuan, 40 unit tandas, kaunter tiket, pembaikan struktur bawah bangunan, bilik VIP, pendawaian semula elektrik, pembaikan bumbung bangunan, pembaikan sistem pembetungan dan kerja-kerja mengecat dinding bangunan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...